Sunday, January 23, 2011

Inflasi boleh dikawal - Idris



 

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Inflasi di negara ini boleh dikawal dan diuruskan dengan baik walaupun kerajaan mengurangkan pemberian subsisi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala.
Bagaimanapun, tambah beliau, ia hanya boleh dikawal sekiranya pengurangan subsidi itu hanya dilakukan secara berperingkat.
‘‘Kami telah melihat segala analisis semasa pembentangan cadangan pengurangan subsidi dibuat dahulu.
‘‘Analisis itu telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan menunjukkan ia akan meningkat kepada tiga peratus atau turun kepada 2.9 peratus untuk masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan penganalisis ekonomi tempatan mengenai peningkatan kadar inflasi sekiranya kerajaan mengurangkan pemberian subsidi.
Idris berkata, subsidi akan dikurangkan sedikit demi sedikit dalam jumlah yang kecil untuk tempoh jangka panjang.
‘‘Jika kita melihat kepada situasi pada masa ini, apa yang berlaku setakat ini, kadar inflasi terkawal dan maklum balas yang diterima dari orang ramai adalah baik,” jelasnya.
Idris yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu), sebelum ini telah mencadangkan langkah merasionalisasi semula subsidi bagi mengelakkan negara muflis menjelang 2019.
Katanya, hutang negara akan meningkat pada tahun itu sekiranya negara terus bergantung kepada pemberian subsidi kerajaan.
Antara cadangan pengurangan subsidi itu membabitkan subsidi gas yang mengakibatkan peningkatan tarif elektrik, peningkatan kadar tol, peningkatan caj hospital awam dan sebagainya.
Kerajaan juga mencadangkan agar langkah mengurangkan subsidi petrol secara berperingkat sejajar untuk meletakkan di kedudukan strategik dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan maju.
Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menerima subsidi yang banyak di dunia dengan jumlah subsidi sebanyak RM74 bilion pada 2009.
Ia meliputi subsidi sosial sebanyak RM24.8 bilion, minyak sebanyak RM23.5 bilion dan makanan sehingga mencecah RM3.1 bilion.
Sementara itu, kaji selidik BNM menunjukkan inflasi akan meningkat kepada empat peratus pada 2011 hingga 2012 dan sekitar tiga peratus selepas 2013.

No comments:

Post a Comment